Besut Pintu Tawan Terengganu - Undi Pas Pru14

Saturday, April 14, 2018

Besut Pintu Tawan Terengganu


Besut Pintu Tawan Terengganu
Anak-anak muda menjadi peserta paling teruja dalam pesta demokrasi kali ini, mereka menghijaukan daerah agrarian ini dengan bendera bulan berlatar hijau sehingga menenggelamkan bendera dacing. Pertandingan tidak seimbang dan seperti orang gila mabuk kuasa bagi BN di daerah lain,bendera PAS diturunkan oleh pihak PBT. Di daerah Besut, menurunkan bendera sesuka hati maka kesannya fatal!, masing-masing tahu akan batasan berpolitik. Daerah ini kepongahan warganya memang menjadi bualan masyarakat luar.
Besut pada tahun 1959 ditandingi kerusi Parlimennya oleh Dr Burhanuddin Al Helmi dan Presiden PAS ini berjaya mewakili konstitusi ini. Saat itu semua DUN berjaya dikuasai oleh PAS, yang mengesahkan Pantai Timur mula mengambil posisi sebagai kubu PAS walaupun harakatul ummah ini ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1951. Besut dengan jajaran sekolah pondok , sekolah agama rakyat juga dengan ramai ilmuan Islam memberikan kelebihan kepada PAS. Masjid surau atau balaisah meriah dengan pengajaran kitab oleh lebai-lebai pondok maka tidak pelik jika warganya menyintai perjuangan Islam. Menteri Besar Terengganu juga dilantik daripada anak Besut,iaitu Haji Daud Samad.
PAS kali kedua memenangi Terengganu pada tahun 1999, dengan gejolak kebangkitan rakyat menolak kezaliman UMNO/BN. Pemecatan Anwar Ibrahim oleh Dr Mahathir telah menyimbah api kesedaran rakyat, riuh geger dijalanan anak-anak muda memprotes kebobrokan KKN yang diamalkan oleh regim Mahathir. Kawasan “Malay Belt” sangat terkesan dengan kezaliman BN termasuk daerah Besut. Parlimen dan keempat -empat DUN telah dimenangi oleh PAS walaupun setahun sebelum itu berlaku pemecatan kepada beberapa tokoh PAS kawasan ini.
Melihat kepada kebangkitan rakyat Terengganu dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, kesannya turut mewabak ke Besut.Rakyat Terengganu muak dengan ketidakcekapan, ketirisan dan perangai bodoh sombong UMNO Terengganu. Pembaziran dan salahurus kerajaan negeri Terengganu sudah berada pada tahap maksima. Menjadi pemimpin kerajaan di negeri penyu menangis ini seolah lesen untuk menumpuk kekayaan, membina rangkaian kroni kapitalisme tanpa sepicing pun rasa malu.
PAS Terengganu menyedari bahawa usaha menawan Wisma Darul Iman mestilah melibatkan penglibatan Besut, maka program HARAP juga diadakan di kampung Raja, Besut pada tahun 2017. Presiden PAS memberikan mesej yang serius untuk menawan Terengganu dengan melantik Dato Husein Awang, anak Besut sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu untuk sesi 2017-2019.
Makin gagah
PAS kawasan Besut dibawah kepimpinan Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad telah menunjukkan keseriusan gerakerja dengan menumpukan kepada kekuatan akar umbi. Pelbagai program tajnid dan amal tarbawi telah diadakan seperti ijtimak tarbawi, tamrin qiadi, aktiviti pembinaan fikrah di cawangan-cawangan. Kegiatan jihad ta’lim disuburkan dengan menubuhkan institusi pendidikan seperti SRIDAF, PASTI serta pelbagai maahad untuk mencetak kader-kader dakwah.

No comments:

Post a Comment